Pengurusan projek KDE KDE

Seperti kebanyakan projek perisian bebas/sumber terbuka, KDE adalah hasil daripada usaha sukarela, namun begitu terdapat juga beberapa syarikat seperti Novell, Trolltech dan Mandriva yang mengupah para pembangun untuk menyertai projek tersebut. Kerana ramai individu menyumbang dalam projek tersebut melalui cara yang berbeza (kod, penterjemahan, hasil seni) pengurusan projek tersebut adalah sangat kompleks. Kebanyakan masalah dibincangan dalam senarai-senarai mel.

Keputusan penting seperti tarikh lepasan dan kemasukan perisian penggunaan baru dibuat pada senarai kde-core-devel oleh sekumpulan individu yang digelar pembangun teras (core developer). Mereka adalah pembangun yang telah membuat sumbangan besar dalam KDE pada tempoh yang lama. Keputusan tidak dibuat menggunakan proses pengundian, tetapi sekadar dibincangkan pada senarai mel. Dalam kebanyakan kes, kaedah ini sudah mencukupi, dan perbincangan yang melibatkan perubahan drastik (seperti keperluan untuk membuang API bagi KDE 2 dalam KDE 3) amat jarang berlaku.

Walaupun KDE mempunyai pembangun dan pengguna dari seluruh dunia, projek tersebut mempunyai pusat yang kuat di Jerman. Pelayan-pelayan web terletak di beberapa buah universiti di Tubingen dan Kaiserslautern, sebuah pertubuhan bukan untung Jerman (KDE e.V.) memiliki tanda dagangan KDE, dan seminar-seminar mengenai KDE biasanya diadakan di Jerman.